Nation
297

18 anak muda dibenar cabar tindakan kerajaan tangguh Undi 18

Kuala Lumpur – Sekumpulan 18 anak muda hari ini memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan Undi 18 iaitu langkah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik (AVR).

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, ketika membenarkan permohonan kumpulan itu yang mewakili gerakan Undi 18 bagi mengemukakan semakan kehakiman terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), berkata pemohon telah memenuhi kriteria bagi memperoleh kebenaran dan kes itu bukan sesuatu yang remeh atau menjengkelkan.

Beliau berkata oleh itu, mahkamah harus membenarkan isu ini diteruskan ke peringkat yang substantif dan membolehkan responden memberi penjelasan melalui afidavit.

“Saya bersetuju dengan hujah pemohon bahawa pindaan kepada akta dan peraturan yang berkaitan adalah isu kedua yang tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pindaan perlembagaan untuk dilaksanakan.

“Pindaan perlembagaan yang menurunkan had umur pengundi daripada 21 kepada 18 tahun telah diluluskan oleh Parlimen dan mendapat perkenan Agong. Isu yang masih tergantung ialah bila ia boleh dilaksanakan,” katanya dalam penghakiman bertulis 22 muka surat yang dikeluarkan kepada media hari ini.

Ahmad Kamal berkata berdasarkan Hansard Dewan Rakyat, Perdana Menteri pada 16 Julai 2019 ketika membahaskan pindaan perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa semua undang-undang serta peraturan yang berkaitan perlu dipinda untuk menguatkuasakan Seksyen 3(a) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 dan Seksyen 3(b) akta sama.

Seksyen 3(a) adalah berkaitan langkah menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun manakala, Seksyen 3(b) adalah berkaitan langkah membenarkan pendaftaran pengundi automatik bagi menggantikan sistem sedia ada iaitu rakyat Malaysia perlu memohon untuk mendaftar sebagai pengundi.

Beliau berkata ketiga-tiga responden dikategorikan sebagai pihak berkuasa awam.

“Justeru, pada pandangan saya keputusan responden pertama (Muhyiddin) bagi pihak responden kedua (kerajaan) pada 27 Mac 2021 dalam menerima dan mengesahkan keputusan responden ketiga (SPR) pada 25 Mac 2021 untuk menangguhkan pelaksanaan langkah menurunkan had umur pengundi daripada 21 kepada 18 tahun dari Julai 2021 hingga selepas 1 September 2022 adalah satu keputusan yang sah dan mengikat semua pihak yang berkaitan,” katanya.

Hakim itu juga berkata Perintah 53 Aturan 2(4) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 menyatakan bahawa mana-mana individu yang terjejas secara advers dengan keputusan mana-mana pihak berkuasa awam berhak mengemukakan permohonan tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Julai untuk pengurusan kes melalui e-Review.

Kumpulan itu diwakili peguam Datuk S. Ambiga dan Datuk Dr Gurdial Singh Nijar manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Azizan Md Arshad mewakili responden pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian.

Pada 2 April lalu, kumpulan anak muda itu yang berusia lingkungan 18 hingga 20 tahun, memfailkan tindakan undang-undang memohon beberapa perintah mahkamah susulan tindakan responden yang menangguhkan pelaksanaan Undi 18.

Menerusi permohonan itu, mereka memohon satu deklarasi bahawa tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan langkah menurunkan had umur pengundi daripada 21 kepada 18 sebagai tidak rasional, tidak sah, tidak seimbang serta adalah satu bentuk penindasan pengundi.

Mereka turut memohon deklarasi bahawa anak muda yang berusia lingkungan 18 hingga 20 tahun adalah berhak mengundi pada atau sebelum Julai 2021. — Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu