Social
156

18 individu ceroboh hutan simpan tanam Musang King direman

Kuatan – Seramai 18 individu termasuk seorang wanita direman sehingga esok bagi membantu siasatan kes meneroka hutan simpan kekal (HSK) di Batu Talam, Raub yang dikatakan bagi tujuan menanam durian Musang King.

Peguam Samantha Chong Yin Xin, yang mewakili kesemua suspek berusia lingkungan 17 hingga 60 tahun, semasa dihubungi berkata perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Raub Yusri Wanu Suki pada prosiding di Mahkamah Majistret Raub hari ini.

Pada prosiding itu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang diwakili pegawai penyiasat Asmadi Mohd memohon tempoh reman selama empat hari atas alasan pihaknya memerlukan lebih masa bagi merekodkan kenyataan kesemua suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Mohd Yusri Othman pula mengesahkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu adalah antara 19 individu yang ditahan polis semalam atas dakwaan menghalang tugas penjawat awam dan melakukan khianat semasa operasi memusnahkan kebun durian.

Bagaimanapun, beliau berkata ADUN DAP itu dan kesemua individu yang ditahan polis pada 11.30 pagi Ahad telah dibebaskan dengan jaminan polis pada awal pagi tadi.

“Saya difahamkan 18 suspek yang lain ditahan oleh JPNP bagi tujuan reman untuk membantu siasatan pihak berkenaan berhubung pencerobohan hutan simpan,” katanya semasa dihubungi hari ini.

Difahamkan, ADUN itu tidak direman kerana beliau tidak berada di dalam kawasan HSK semasa operasi memusnahkan kebun durian terbabit berlangsung.

Mohd Yusri berkata siasatan bagi dakwaan menghalang penjawat awam dilakukan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata siasatan berhubung dakwaan khianat pula dibuat mengikut Seksyen 427 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, JPNP menerusi kenyataan kepada media memaklumkan operasi memusnahkan kebun durian haram yang melibatkan kawasan seluas 101.171 hektar dalam HSK Batu Talam berdepan provokasi pihak terlibat menyebabkan mereka merekodkan video dan membuat laporan polis.

“Operasi itu tertumpu kepada tindakan memusnahkan kesemua tanaman durian yang ditanam secara haram dan tangkapan serta sitaan barang serta kenderaan akan dibuat terhadap mereka yang masuk ke kawasan HSK tanpa kebenaran,” menurut kenyataan itu.

JPNP juga memaklumkan operasi itu tidak melibatkan kawasan seluas 2,167 hektar di sekitar Raub yang menjadi subjek dalam kes mahkamah yang belum selesai antara 110 pekebun dengan enam pihak termasuk Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu