Nation
234

1MDB: AMMB Holdings setuju bayar RM2.83 bilion pada kerajaan

Kuala Lumpur – AMMB Holdings Berhad setuju untuk membayar RM2.83 bilion bagi menyelesaikan semua tindakan dan tuntutan tertunggak berkaitan penglibatan AmBank dengan 1MDB.

Perkara itu dinyatakan Kementerian Kewangan dalam kenyataan petang semalam.

Menurut Kementerian Kewangan, penyelesaian terbaru itu sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB, melibatkan semua pihak yang terlibat secara langsung dan juga tidak langsung.

“Ini susulan rundingan kerajaan yang berjaya memeterai penyelesaian RM15.8 bilion (AS$3.9 bilion) dengan Goldman Sachs pada Julai 2020.

“Penyelesaian ini tidak membebaskan entiti dan individu daripada dakwaan penglibatan mereka dalam 1MDB dan sistem keadilan jenayah akan meneruskan tindakan terhadap mereka,” menurut kenyataan itu.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menyifatkan penyelesaian itu akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

“Langkah menyelesaikan isu ini menerusi sistem mahkamah akan memakan banyak masa, wang dan tenaga.

“Dengan penyelesaian ini, bayaran akan dipercepat, berbanding pertembungan di mahkamah yang panjang, dan ia dapat digunakan untuk menjelaskan obligasi (hutang) 1MDB,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan berkata, sebagai sebahagian daripada terma penyelesaian di peringkat global, Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan mengarahkan AmInvestment Bank Berhad membuat langkah-langkah pembetulan, termasuk mewujudkan proses dan sistem untuk mengukuhkan proses due dilligence mereka.

Menurut kementerian itu lagi, jumlah penyelesaian itu tidak termasuk penalti RM53.7 juta yang dikenakan Bank Negara Malaysia (BNM) kepada AmBank Group.

Ia juga menekankan penyelesaian di peringkat global tidak akan menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti ahli perniagaan Low Taek Jho, bekas pegawai perundangan 1MDB Jasmine Loo dan pihak berkaitan lain yang terbabit dalam skandal 1MDB.

Kementerian Kewangan juga menyatakan penghargaan kepada SC, Pejabat Peguam Negara, BNM, polis, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NAFCC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Governans, Integriti & Anti Rasuah Nasional atas usaha untuk mencapai penyelesaian itu. – Malaysiakini

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu