Kuala Lumpur Post

Nation

1MDB : AS pulangkan dana RM721.4 juta kepada Malaysia

KUALA LUMPUR — Amerika Syarikat (AS) memulangkan kira-kira AS$156 juta (RM721.4 juta) kepada kerajaan Malaysia yang juga transaksi keempat dana yang diperoleh semula hasil rampasan aset berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Perkara itu disahkan oleh Duta Besar AS ke Malaysia Edgard D Kagan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Jun lalu, dan dana itu sudah dipulangkan susulan petisyen dikemukakan oleh kerajaan serta diluluskan oleh Jabatan Kehakiman AS.

Dalam satu kenyataan, kedutaan itu menyatakan menerusi pindahan dana itu, AS telah mendapatkan dan membantu memperoleh semula serta memulangkan kira-kira AS$1.4 bilion (RM6.6 bilion) dana yang diselewengkan dari Malaysia, setakat ini.

“Kami gembira kerana tranche aset keempat daripada siasatan Jabatan Kehakiman ini dalam proses dipulangkan kepada Malaysia.

Menurut kedutaan AS, sebagaimana didakwa dalam aduan, pihak yang terbabit dalam penyelewengan itu yang turut merangkumi pegawai di 1MDB, saudara mara mereka serta rakan lain, telah menyeleweng dana 1MDB berjumlah melebihi AS$4.5 bilion.

Perbuatan itu dilakukan menerusi beberapa siri transaksi yang kompleks dan penglibatan syarikat ‘shell’ mencurigakan atau hanya wujud di atas kertas dengan akaun bank di AS dan luar negara menggunakan dokumen serta representasi palsu.

“Kesemua transaksi ini didakwa bertujuan menyembunyikan sumber, asal serta pemilikan dana yang akhirnya melalui institusi kewangan AS dan kemudian diselewengkan bagi memperoleh selain melabur dalam aset di AS dan di luar negara,” katanya.

Kedutaan AS turut menegaskan bahawa kerajaan negara itu kekal komited dalam usaha mendapatkan semula dan memulangkan dana yang dicuri daripada 1MDB demi manfaat rakyat Malaysia.