Nation
221

1MDB fail saman terhadap Riza Aziz

Kuala Lumpur – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tiga anak syarikatnya memfailkan saman terhadap penerbit filem yang juga anak tiri Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz dan tiga lain bagi menuntut RM1 bilion (AS$250 juta) yang didakwa diseleweng.

Wang tersebut didakwa digunakan untuk manfaat peribadi antara lain bagi membiayai penerbitan filem dan membeli pelbagai hartanah di antara tahun 2011 dan 2012.

Tiga pihak lain yang dinamakan sebagai plaintif dalam saman itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited.

Anak tiri bekas Perdana Menteri itu yang dikenali sebagai Riza Aziz dinamakan sebagai defendan pertama manakala tiga lagi defendan terdiri daripada syarikat Red Granite Pictures Incorporated, Red Granite Capital Limited dan firma guaman di Amerika Syarikat, Shearman & Sterling.

Tuntutan saman yang difailkan itu adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dimulakan oleh 1MDB terhadap sembilan entititi termasuk dua institusi kewangan luar dan 25 individu dalam usaha mendapatkan semula asetnya.

Pada prosiding kes melalui e-Review hari ini, Timbalan Pendaftar Noordura Mohamed Din, menetapkan 17 Ogos ini untuk pengurusan kes seterusnya.

Berdasarkan writ saman yang diperoleh pihak media, saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi pada 7 Mei lalu melalui Tetuan Shearn Delamore & Co.

Dakwa plaintif, defendan pertama hingga ketiga menerima kira-kira AS$250 juta dalam dana yang dilesapkan daripada plaintif antara 2011 dan 2012 selain mendakwa mereka menggunakannya untuk
kepentingan diri dan sekutu, termasuk bagi tujuan pembiayaan produksi filem dan pembelian pelbagai hartanah.

1MDB mendakwa firma guaman Shearman and Sterling membenarkan Riza serta ‘sekutunya’ iaitu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) menggunakan akaun klien di firma itu itu untuk
mengubah sejumlah besar dana yang diselewengkan.

Sehubungan itu, plaintif menuntut deklarasi bahawa defendan pertama bertanggungjawab kepada plaintif bagi dana yang dilesapkan dan diterima atas alasan penerimaan berpengetahuan atau secara alternatifnya penolongan tidak jujur.

Writ saman itu juga menyebut, plaintif-plaintif berhak untuk dibayar balik dana yang dilesapkan dan diterima defendan pertama atas alasan menjadi kaya secara tidak adil (unjust enrichment).

Plaintif memohon deklarasi supaya keempat-empat defendan dipertanggungjawabkan bagi dana yang diselewengkan itu.

Berikutan itu, plaintif menuntut relief dan faedah pada kadar yang dianggap wajar oleh mahkamah dan kos.

Riza sebelum ini dilepaskan tanpa dibebaskan daripada tuduhan mengubah wang haram berjumlah AS$248 juta.

Tiga hari lalu, New York Times melaporkan kerajaan telah menjual kondominium mewah di kota itu yang dirampas daripada Riza dengan harga AS$16.8 juta. — Utusan Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu