Nation
6K

1MDB : Ibrahim Ali mengaku terima cek daripada Najib

Petaling Jaya – Bekas Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali hari ini membuat pengakuan menerima cek daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, menurut Ibrahim, beliau tidak sedar wang yang diterima mempunyai kaitan dengan wang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) atau SRC International Sdn. Bhd.

“Saya mengaku telah menerima sekeping cek persendirian daripada Najib yang tertera nama beliau pada cek tersebut, yang tidak saya sedar sama sekali ia berkait dengan wang SRC International Sdn. Bhd. mahupun 1MDB sebab tiada nama kedua-dua syarikat di cek berkenaan.

“Saya tidak ingat bila terimanya tetapi yang pasti sebelum isu 1MDB terbongkar selepas PRU-13. Jika sudah terbongkar, pastinya saya tidak akan mahu menerimanya dan Najib sendiri tidak akan menggunakan akaun tersebut lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International Sdn. Bhd. mengemukakan 22 tuntutan sivil terhadap beberapa individu dan organisasi.

Secara keseluruhan, 1MDB dan SRC International Sdn. Bhd. menuntut lebih AS$23 bilion (RM96.6 bilion).

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, beliau turut berjumpa Najib bagi meminta bantuan menyelesaikan masalah kewangan yang telah banyak dibelanjakan sepanjang lima tahun tersebut termasuk ketika bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Beliau (Najib) setuju membantu pada fikiran saya kerana saya Ahli Parlimen Bebas ‘friendly BN’ sebelum itu. Saya tidak ambil tahu dana mana dia ambil bantu saya. Mungkin dari tabung UMNO atau BN atau wang persendiriannya.

“Mengapa perlu saya menolak bantuan yang beliau berikan dan sudah tentu saya tidak menyoal punca duit itu datang dari mana memandangkan Najib telah lama dalam Kabinet.

“Semua sumbangan itu saya telah belanjakan yang tidak perlu saya huraikan sekarang, tetapi yang pasti ianya dihabiskan untuk membiayai perbelanjaan program rakyat di Pasir Mas dan bukan digunakan untuk perbelanjaan peribadi saya,” jelasnya. – Utusan Online

Tags: , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu