Nation
258

1MDB: Jho Low arah Najib jangan cakap banyak dengan KPMG : Saksi

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low telah mengarahkan Datuk Seri Najib Tun Razak agar tidak bercakap banyak dengan firma audit KPMG Malaysia sebagai strategi sebelum mesyuarat bersama firma audit itu diadakan.

Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azmi Tahir, 48, ketika mendedahkan perkara itu berkata, Jho Low berbuat sedemikian dalam e-mel bertajuk “Urgent: Briefing Package for YAB PM” yang dihantarnya kepada bekas perdana menteri itu dan wakil-wakil 1MDB termasuk dirinya sebelum mesyuarat bertarikh 15 Dis 2013 diadakan di kediaman Najib.

“Dalam e-mel berkenaan, bagi strategi untuk bermesyuarat dengan KPMG, Jho Low mengarahkan Najib agar tidak bercakap banyak dengan KPMG, dan mesti mengungkapkan bahawa Najib telah diterangkan dan mengetahui segala pelaburan dan transaksi di 1MDB dan yakin dengan dokumen yang ada. Jho Low juga mengarahkan agar Najib menyatakan keyakinan beliau terhadap BSI Bank berdasarkan fakta yang diberikan.

“Mesyuarat itu dibuat kerana pihak KPMG hendak mendengar sendiri pengetahuan Najib berkenaan pelaburan 1MDB sebanyak US$2.3 bilion di luar negara khususnya pelaburan oleh Brazen Sky Limited,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi setebal 127 muka surat pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

Brazen Sky Limited merupakan syarikat Special Purpose Vehicle (SPV) yang ditubuhkan pada 12 Julai 2012 bagi tujuan mendapatkan balik dana pelaburan milik 1MDB.

Ketika menjelaskan mengenai mesyuarat yang diadakan di rumah Najib pada malam 15 Dis 2013, saksi pendakwaan ke-12 itu berkata beliau mendapati Najib juga menerima e-mel yang sama daripada Jho Low dan perkara yang digariskan oleh Jho Low dalam e-mel tersebut telah dibincangkan oleh Najib dengan Datuk Johan Idris iaitu wakil KPMG.

Azmi berkata terdapat juga wakil lain daripada KPMG yang ingin menghadiri perjumpaan tersebut namun Najib tidak membenarkan mereka masuk ke rumahnya.

Katanya, dalam mesyuarat berkenaan, Johan telah bertanyakan kepada Najib berkenaan pelaburan di Bridge Global Absolute Return Fund SPC dan Najib menjawab bahawa beliau tahu berkenaan pelaburan Brazen Sky Limited di Bridge Global Absolute Return Fund SPC.

“Dalam mesyuarat ini juga, Najib bertanya kenapa KPMG tetap menimbulkan isu syak wasangka berkenaan aset pendasar pelaburan tersebut sedangkan BSI Bank sendiri sudah menunjukkan penyata pelaburan berkenaan. Najib juga memberitahu KPMG untuk menutup akaun 1MDB sebelum 31 Dis 2013.

“Selepas mesyuarat berkenaan, KPMG masih tidak menutup laporan kewangan tahun 2013 kerana tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan,” kata Azmi sambil menambah bahawa tidak lama kemudian, KPMG digantikan dengan firma audit Deloitte selepas KPMG ditamatkan kontraknya oleh 1MDB pada akhir tahun 2013.

Tambah Azmi walaupun beliau merupakan CFO dalam 1MDB, iaitu audit di bawah bidang kuasanya, namun Jho Low yang telah mengaturkan segala dokumentasi dan tajuk perbincangan kepada Najib untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh KPMG.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu