Nation
264

1MDB : Kerajaan terima RM1.8 bilion daripada AMMB Holdings

Kuala Lumpur – Kerajaan telah menerima RM1.8 bilion daripada AMMB Holdings Bhd, yang mewakili bayaran pertama daripada penyelesaian RM2.83 bilion berkaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), demikian menurut Kementerian Kewangan (MoF) hari ini.

Katanya wang berkenaan telah didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset.

“Baki bayaran penyelesaian sebanyak RM1.03 bilion lagi akan dilunaskan oleh AMMB Holdings pada Disember 2021 dan Julai 2022, masing-masing sebanyak RM515 juta,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, lapor Bernama.

Sehingga kini, akaun amanah berkenaan – di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara, telah menerima sebanyak RM18.176 bilion dana yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.

Dana-dana ini telah/akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd, kata Kementerian Kewangan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata setakat ini, kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.54 bilion hutang 1MDB dan RM3.8 bilion hutang SRC.

“Setakat 30 Jun 2021, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/ keuntungan/ faedah bagi bon, sukuk dan pinjaman berjangka adalah sebanyak RM39.66 bilion (1MDB) dan RM1.85 bilion (SRC). Namun, baki semasa akaun amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun 2021 dan 2022 sahaja,” jelas beliau.

Setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, kerajaan masih perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut adalah disokong oleh kerajaan melalui Jaminan Kerajaan dan Surat Sokongan semasa hutang-hutang ini diterbitkan.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan berkata ia akan sentiasa memastikan peruntukan yang secukupnya bagi menyelesaikan hutang 1MDB dan SRC untuk menguruskan beban kewangan kedua-dua entiti ini.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu