Nation
178

1MDB: Kerajaan terima RM336 juta daripada Deloitte PLT

Kuala Lumpur – Kerajaan telah menerima bayaran penyelesaian sebanyak RM336 juta (US$80 juta) berkaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) daripada Deloitte PLT.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MoF) berkata wang itu telah didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Assets Recovery Trust Account).

“Sehingga kini, Akaun Amanah berkenaan – di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara – telah menerima sebanyak RM16.386 bilion dana yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.

“Jumlah di dalam Akaun Amanah tersebut akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC),” katanya.

Bagaimanapun, kementerian itu menambah baki ini tidak termasuk jumlah penyelesaian sebanyak RM2.83 bilion yang akan diterima daripada Kumpulan Ambank dalam masa terdekat.

“’Di samping itu, rundingan juga sedang dijalankan dengan KPMG,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata sehingga kini, kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.54 bilion hutang 1MDB dan RM3.1 bilion hutang SRC.

Setakat 31 Mei, 2021, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/ keuntungan/ faedah bagi bon, Sukuk dan pinjaman berjangka, adalah sebanyak RM39.66 billion (1MDB) dan RM2.57 bilion (SRC).

Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata baki semasa Akaun Amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun 2021 dan 2022 sahaja.

“Setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, kerajaan masih perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut adalah disokong oleh kerajaan melalui jaminan kerajaan dan surat sokongan semasa hutang-hutang ini diterbitkan,” kata beliau. — Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu