Nation
198

1MDB mohon kebenaran serah writ saman US$1.83b terhadap 6 pihak di luar negara

Kuala Lumpur – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk mengeluarkan dan menyampaikan writ saman difailkan syarikat itu terhadap enam pihak termasuk dua syarikat perbankan di luar negara.

Enam pihak itu ialah syarikat perbankan Coutts & Co Ltd dan J.P. Morgan (Switzerland) Ltd; dua syarikat yang diperbadankan di Arab Saudi iaitu Petrosaudi International Limited dan Petrosaudi Holdings (Cayman) Limited serta dua individu masing-masing warga Arab Saudi, Tarik Isam Ahmed Obaid (Tarik Obaid) dan warga Britain, Patrick Andrew Marc Mahony (Patrick Mahony).

Kesemua pihak tersebut merupakan defendan kedua hingga ketujuh dalam tuntutan saman difailkan 1MDB bernilai US$1.83 billion antaranya atas dakwaan melanggar kontrak, cuai dan melakukan konspirasi jenayah bagi penyelewengan dana 1MDB.

Berdasarkan salinan dokumen yang diperoleh Bernama menerusi sistem kehakiman hari ini, 1MDB selaku plaintif secara ex-parte telah memfailkan notis permohonan itu secara berasingan menerusi Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership di Mahkamah Tinggi di sini pada 27 Ogos lalu, untuk mengeluarkan dan menyampaikan writ saman serentak bagi penyampaian di luar bidang kuasa.

Permohonan itu difailkan atas alasan defendan kedua hingga kelima menjalankan perniagaan mereka di luar Malaysia antaranya di Zurich dan Geneva, Switzerland; Al Khobar di Arab Saudi dan Grand Cayman di Cayman Islands manakala bagi defendan keenam dan ketujuh, mereka bermastautin di luar negara iaitu Tarik Obaid di Al-Khobar, Arab Saudi manakala Patrick Mohany di London, Britain.

Dalam permohonan itu, plaintif turut memohon kebenaran diberikan kepadanya untuk menyampaikan notis writ saman serentak terhadap kesemua defendan, iaitu di mana tempat mereka dapat ditemui.

Berdasarkan hasil semakan di laman web kehakiman, pendengaran permohonan tersebut ditetapkan pada 30 Sept ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon.

Pada 7 Mei lalu, 1MDB memfailkan saman itu dengan menamakan Deutsche Bank (Malaysia) Bhd, Coutts & Co, J.P. Morgan (Switzerland), Petrosaudi International, Petrosaudi Holdings (Cayman), Tarik Obaid dan Patrick Mahony sebagai defendan pertama hingga ketujuh.

Plaintif mendakwa kesemua defendan cuai, melanggar kontrak dan berkonspirasi untuk menipu 1MDB sehingga menyebabkan kerugian kepada syarikat berkenaan serta menjejaskan reputasi dan nama baik 1MDB, lapor Bernama.

Tags: ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu