Nation
169

1MDB pinda writ saman tuntut AS$3.78 bilion dari Jho Low

Kuala Lumpur – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikatnya meminda writ saman untuk menuntut US$3.7837 bilion daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, ahli keluarga dan rakan sekutunya.

1MDB bersama dengan 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan writ terpinda di Mahkamah Tinggi pada 6 Julai lepas.

Penyataan tuntutan asal yang difailkan pada 7 Mei lepas menyaksikan 1MDB serta anak syarikatnya menuntut US$1.402 bilion daripada Jho Low, ayah ahli perniagaan itu Tan Sri Larry Low Hock Peng, kakaknya May Lin dan rakan sekutu beliau iaitu Eric Tan Kim Loong.

Writ terpinda itu turut menamakan ibu Jho Low, Puan Sri Goh Gaik Ewe dan adik lelaki ahli perniagaan tersebut Taek Szen sebagai defendan.

Berdasarkan writ terpinda itu, 1MDB menuntut US$661 juta daripada Jho Low dan menuntut masing-masing US$41 juta, US$397 juta, US$608 juta dan US$1.9 bilion daripada Jho Low dan Tan serta sebanyak US$325 juta dituntut daripada Jho Low dan ayahnya.

1MDB Global Investments Limited pula menuntut US$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Tan serta US$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Tan.

Plaintif turut menuntut US$3.5 juta daripada May Lin and Jho Low serta US$1.695 juta daripada Goh, Jho Low, dan Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain US$25.5 juta daripada Jho Low, Tan, Hock Peng dan Taek Szen.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, kesemua plaintif mendakwa mereka dimanipulasi oleh sekumpulan individu termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak dan Jho Low untuk memfasilitasikan penipuan yang berskala besar dan berjangka panjang.

“Ini telah menyebabkan berbilion-bilion ringgit dilesapkan secara penipuan dan dialihkan kepada akaun-akaun yang dikawal secara peribadi untuk kepentingan pelbagai penipu termasuk defendan-defendan.

“Semasa melaksanakan penipuan tersebut, pelbagai pecah amanah dan pelanggaran tugas fidusiari telah dilakukan oleh Najib, ahli-ahli lembaga pengarah dan pasukan pengurusan kanan plaintif-plaintif.

“Dana dan aset kesemua plaintif yang telah dipindah kepada defendan-defendan telah dilesapkan dengan pengetahuan kesemua defendan secara pecah amanah dan pelanggaran tugas fidusiari,” menurut plaintif dalam tuntutan itu.

Plaintif mendakwa Najib menyalahgunakan kuasa dan posisinya untuk melindungi dirinya serta menyembunyikan penipuan terhadap mereka antara lain menghalang usaha untuk menyiasat dan membongkarkan bukti berkaitan penipuan dan salah laku terhadap plaintif di Malaysia.

Dakwa plaintif, Najib turut menggunakan kuasanya untuk memecat mana-mana pegawai kanan awam termasuk Peguam Negara dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu yang mempersoal kelakuannya atau yang meneruskan siasatan berhubung penipuan terhadap kesemua plaintif.

“Najib telah dipaksa untuk meninggalkan jawatannya setelah Barisan Nasional kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018.

“Sebuah kerajaan baharu ditubuhkan pada 10 Mei 2018 yang mengambil alih kawalan pemilikan terhadap kesemua plaintif, hanya setelah kerajaan baharu berkuasa dan penggulingan Najib sebagai Perdana Menteri,” dakwa plaintif.

Peguam Siva Kumar Kanagasabai, yang mewakili plaintif, ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp mengesahkan perkara itu dan memaklumkan pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 12 Ogos, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu