Kuala Lumpur Post

Social

1MDB,10 syarikat saman Rosmah AS$346 juta

KUALA LUMPUR — 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 10 syarikat termasuk anak syarikatnya, mengemukakan saman terhadap Datin Seri Rosmah Mansor, menuntutnya mengembalikan barangan mewah berjumlah AS$346 juta didakwa diperoleh daripada dana syarikat itu yang diselewengkan.

Kesemua syarikat terbabit yang bertindak selaku plaintif turut menuntut isteri bekas perdana menteri itu membayar AS$346,010,489 atau sejumlah amaun yang ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi.

Kesemua plaintif ialah 1MDB Energy Holdings Limited; 1MDB Energy Limited; 1MDB Energy (Langat) Limited; Global Diversified Investment Company Limited; SRC International Sdn Bhd; Affinity Equity International Partners Limited; Alsen Chance Holdings Limited; Blackrock Commodities (Global) Limited; Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

Plaintif mendakwa bahawa barangan mewah berkenaan, iaitu antara lain ribuan item jenama barang kemas, jam tangan dan beg tangan berjumlah kira-kira AS$346 juta, telah dibeli oleh atau untuk Rosmah, bukan dengan wang sendiri tetapi dengan dana yang diselewengkan daripada anak syarikat 1MDB.

Menurut plaintif, dana itu disalurkan melalui pelbagai entiti luar pesisir termasuk Affinity Equity, Alsen Chance, Blackrock, Blackstone dan Brightstone sebelum dibayar kepada 48 vendor berbeza daripada 14 bidang kuasa bagi pembelian barangan mewah berkenaan iaitu sebanyak 320 bayaran berjumlah AS$346,010,489.

Blackrock dan Blackstone adalah syarikat dikaitkan dengan sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, iaitu Eric Tan.

Sehubungan itu, mereka menuntut perisytiharan bahawa 1MDB dan lima anak syarikatnya (plaintif pertama hingga keenam) mempunyai kepentingan proprietari berekuiti atau kepentingan benefisial terhadap terhadap barangan mewah berkenaan yang dapat dikesan dalam pemilikan Rosmah.

Plaintif juga memohon perisytiharan bahawa Rosmah memegang barangan mewah itu dan hasilnya yang dapat dikesan atas amanah konstruktif bagi 1MDB dan anak syarikatnya.

Selain itu, mereka menuntut perisytiharan bahawa 1MDB dan anak syarikatnya itu berhak untuk mengesan barangan mewah terbabit dan perisytiharan bahawa Rosmah

bertanggungjawab kepada mereka (plaintif) selaku pemegang amanah konstruktif barangan berkenaan.

Selain itu, kesemua plaintif turut menuntut ganti rugi pampasan berekuiti, ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan untuk ditaksirkan oleh mahkamah.