Kuala Lumpur Post

Social

2 anggota polis cedera dilanggar ketika bertugas

SHAH ALAM — Dua anggota polis berpangkat koperal cedera selepas kereta peronda (MPV) dinaiki mereka dilanggar kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Persiaran Kayangan – Persiaran Bestari di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati kemalangan jam 8.10 malam itu apabila pemandu MPV polis iaitu Proton Waja yang menerima panggilan kecemasan berkaitan kes pergaduhan di Pusat Komersial Seksyen 7.

Beliau berkata, kenderaan MPV polis yang melintasi persimpangan lampu isyarat itu dalam keadaan memasang siren dan beacon light dilanggar di bahagian sisi kiri oleh Honda City yang bergerak lurus semasa lampu isyarat hijau.

“Kemalangan terbabit menyebabkan kerosakan di bahagian fender dan pintu sisi kiri rosak, serta cermin hadapan dan sisi kiri penumpang juga pecah, manakala Honda City mengalami kerosakan bampar, bonet hadapan serta radiator dan komponen enjin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan mendapati pemandu serta penumpang MPV polis berkenaan mengalami luka di bahagian tangan dan muka serta bengkak di dahi dan kepala.

“Kedua-dua anggota polis yang berumur 33 tahun itu dikejarkan ke Hospital Shah Alam dengan ambulans.

“Bagaimanapun pemandu Honda City yang berumur 24 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.