Kuala Lumpur Post

Social

2 anggota polis terlibat kes peras ugut ditahan

JOHOR BAHRU — Dua anggota polis yang disyaki memeras ugut dan meminta wang RM2,000 daripada seorang lelaki di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, ditahan.

Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar berkata, anggota polis lelaki berusia 32 dan 33 tahun itu ditahan 1.50 tengah hari oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Beliau berkata, penahanan itu dibuat selepas polis menerima laporan 12.23 tengah malam berhubung kejadian.

“Siasatan awal mendapati, mangsa berusia 29 tahun melalui BSI untuk pemeriksaan imigresen ditahan oleh suspek, kerana dikatakan mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

“Suspek memeras ugut mangsa supaya membayar RM2,000 bagi mengelak ditangkap dan ditahan di lokap polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kumar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

“Suspek akan dibawa di Mahkamah Johor Bahru untuk permohonan reman hari ini,” katanya.