Kuala Lumpur Post

Social

2 bekas penguat kuasa PBT ditahan SPRM

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua bekas anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM18,000.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berumur lingkungan 30-an itu yang menyamar sebagai pegawai daripada Unit Risikan Bukit Aman meminta balasan untuk tidak mengambil tindakan, bagi kes pengubahan wang haram terhadap mangsa.

Sumber itu berkata, suspek pertama ditahan kira-kira 5.10 petang semalam di ibu negara, manakala suspek kedua ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur pada 8.57 malam tadi.

“Suspek ke pejabat mangsa di Kuala Lumpur dan memberitahu kononnya terdapat satu kes SPRM dibuka terhadap mangsa membabitkan kesalahan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram.

“Sehari selepas itu, suspek datang semula ke pejabat mangsa dan meminta wang rasuah kira-kira RM18,000 sebagai balasan menutup siasatan kes berkenaan,” kata sumber itu.

Menurutnya, mangsa yang ketakutan menyerahkan wang tunai sebanyak RM10,000 kepada suspek dan memaklumkan akan menyerahkan baki RM8,000 pada Isnin (semalam) sebelum membuat laporan kepada SPRM Ahad lalu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tags: , ,