Social
1K

2 bekas YDP ditahan SPRM

Putrajaya – Dua orang bekas Yang DiPertua (YDP) Majlis Perbandaran di Selangor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor projek dan pemaju perumahan di kawasan masing-masing.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Sumber berkata, kedua-dua YDP tersebut yang kini memegang jawatan Pegawai Daerah (DO) ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini ketika hadir memberikan keterangan lewat malam tadi, menurut laporan Kosmo Online.

Menurutnya, kontraktor yang terlibat juga turut ditahan bagi membantu siasatan kerana merasuah kedua-dua suspek bertujuan membolot projek-projek yang ditawarkan di dua majlis perbandaran yang diketuai kedua-dua YDP tersebut.

“Kontraktor terbabit berusia 42 tahun dipercayai mengawal 16 syarikat yang didaftarkan atas nama saudara dan pekerja-pekerja beliau bagi mendapatkan projek-projek di dua Majlis Perbandaran tersebut.

“Dianggarkan projek-projek yang dimonopoli mencecah jutaan ringgit sejak tahun 2018 hingga 2021,” katanya.

Sumber berkata, bagi setiap projek yang diperoleh, kedua-dua bekas YDP tersebut menerima habuan rasuah sebanyak lima peratus daripada nilai projek.

Selain itu, sumber menjelaskan pelbagai bentuk suapan rasuah telah diberikan kepada kedua-dua suspek termasuk sebuah rumah bernilai RM1 juta, wang tunai berjumlah RM500,000 dan pakej pelancongan ke Eropah bagi meluluskan kebenaran merancang dan pembangunan milik sebuah syarikat pemaju perumahan.

“Beberapa siri serbuan telah dibuat di sekitar selangor sejak awal pagi semalam,” ujarnya.

Siasatan dijalankan di bawah seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan.

Ketiga-tiga yang ditahan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi bagi mendapatkan perintah reman.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu