Social
258

2 dikompaun gagal kemuka bukti lengkap vaksinasi

Ipoh – Dua individu di negeri ini dikompaun kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu gagal membuktikan telah lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kes pertama membabitkan seorang lelaki berumur 31 tahun yang didapati makan di premis di medan selera di sini manakala kes kedua pula melibatkan seorang lelaki, 54, yang merentas daerah tanpa kebenaran serta tidak membawa telefon bimbit ketika ditahan di sekatan jalan raya Tol Jelapang Arah Selatan (Dari Kuala Kangsar) .

“Kedua-duanya gagal membuktikan yang mereka telah lengkap dua dos vaksin menerusi aplikasi MySejahtera. Justeru kedua-duanya dikompaun masing-masing sebanyak RM1,500 atas kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Mior Faridalathrash ditemui pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Bulan Kebangsaan bersama warga Polis Diraja Malaysia Perak peringkat negeri Perak di Mes Pegawai Kanan Polis hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi Dan Multimedia negeri Khairul Shahril Mohamed dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan negeri Mohd Taib Ubah.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata pihaknya berjaya mengesan seorang lagi individu yang melarikan diri dari Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kompleks Rakan Muda Taiping di Kamunting, Rabu lepas.

Menurutnya polis sudah mengenal pasti lokasi individu itu menyembunyikan diri dan akan memberkasnya dalam masa terdekat.

Semalam, Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata polis berjaya menahan dua daripada tiga pesakit COVID-19 yang melarikan diri dari PKRC tersebut selepas menerima laporan mengenai kejadian itu pada 11.59 malam.

Katanya ketiga-tiga pesakit COVID-19 itu yang berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun sepatutnya menjalani kuarantin di PKRC terbabit selama 10 hari.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan terkini kes helikopter merentas negeri untuk membeli ‘nasi ganja’, Mior Faridalathrash berkata pihaknya menunggu arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Kita telah merakam percakapan mereka yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kertas siasatan telah diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri dan kes ini sudah pun dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Pada 23 Julai lepas, sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh di sini pada kira-kira 10 pagi bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi kandar dikenali ‘nasi ganja’ dari sebuah restoran di bandar raya ini, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu