SIBU — Dua penumpang hilang, manakala tiga lagi terselamat dalam insiden bot karam di Long Menjawah, Sungai Rajang, Belaga semalam.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa hilang ialah Balavishnu Permaloo, 36, serta Rhuban Apparoo, 30, yang berasal dari Sungai Karangan, Padang Serai di Kedah.
Katanya, maklumat dan identiti tiga lagi mangsa terselamat belum diperolehi setakat ini.
Sebaik menerima panggilan pada 4.33 petang semalam, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Belaga dengan kekuatan lima anggota dan jentera digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira 31km.
“Mengikut maklumat awal, lima pekerja Syarikat Clinroom Indusrti Sdn Bhd yang juga syarikat penyelenggara empangan Bakun menyewa bot daripada penduduk kampung untuk bersiar-siar di sekitar Jeram Mejawah, Belaga yang dikemudi Robert Jaang (penduduk Rumah Apan).
“Semasa kejadian, bot dinaiki karam disebabkan arus deras di Jeram Mejawah. Jurumudi bot berusaha menyelamatkan semua penumpang, namun dua penumpang dihanyutkan arus deras,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Sebaik selesai mengumpul maklumat dan memantau keadaan di lokasi, pasukan bomba pulang ke balai dan operasi ditangguhkan pada 6.30 petang. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung pagi ini bersama agensi lain.