Kuala Lumpur Post

Social

2 individu ditahan kemuka tuntutan bayaran palsu RM100,000

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan bekas ketua pegawai kewangan dan bekas ketua pegawai operasi syarikat berkaitan hartanah selepas disyaki mengemukakan dokumen tuntutan pembayaran palsu bernilai kira-kira RM100,000.

Sumber SPRM berkata kedua-dua mereka, seorang wanita dan seorang lelaki lingkungan 30-an ditahan pada 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki mengemukakan 42 dokumen tuntutan pembayaran palsu yang menyebabkan kerugian kepada syarikat sedangkan tiada pembekalan barangan atau kerja-kerja telah dilaksanakan.

“Kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut dari Januari 2021 hingga April 2022 dan menerima kesemua bayaran secara pindahan ke akaun bank milik mereka (suspek),” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.