Kuala Lumpur Post

Social

2 lagi ditahan kes lelaki diikat, dipukul hingga maut

PETALING JAYA — Polis menahan dua lagi individu, semalam bagi membantu siasatan kes lelaki yang ditarik keluar daripada kereta, diikat dan dipukul sehingga maut di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, 20 Februari lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan lelaki berusia 22 dan 39 tahun menjadikan keseluruhan tujuh orang diberkas setakat ini.

“Kita percaya akan ada lagi individu lain yang ditahan selepas ini berhubung kejadian terbabit.

“Selain itu, kita juga sudah menerima laporan dibuat oleh dua pemilik kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu.

“Difahamkan ketika kejadian, mangsa melanggar dua kenderaan lain sebelum ditemui meninggal dunia dipercayai akibat dipukul,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan, selepas bedah siasat dilakukan mendapati tiada kecederaan ketara pada mangsa.

“Disebabkan itu, kami masih lagi menunggu keputusan analisis makmal bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan mangsa yang berusia 42 tahun disahkan positif dadah jenis methaphetamin dan ganja.

“Semakan dilakukan juga mendapati mangsa mempunyai 10 rekod lampau, selain dikehendaki atas kesalahan dadah,” katanya.

Hussein meminta orang ramai yang menjadi saksi kejadian supaya tampil membantu siasatan.

“Kita melihat penulisan orang ramai di media sosial berkaitan kes itu sekiranya boleh dipanggil bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan.

“Pada masa sama, kita menasihatkan orang ramai supaya tidak menokok tambah serta mengada-adakan cerita berkaitan kes ini kerana boleh memberi kesan kepada siasatan dan mendatangkan kegusaran kepada orang ramai,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang lelaki bukan hanya ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam selepas kemalangan, bahkan tangannya diikat dan dia dipukul hingga maut.

Susulan itu, polis menahan lima lelaki tempatan berusia 22 hingga 52 tahun di sekitar Kajang dan Semenyih beberapa jam selepas kejadian.