Kuala Lumpur Post

Social

2 lelaki ditahan kes bunuh peniaga

KLANG — Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes seorang lelaki ditemukan mati dalam keadaan meniarap dipercayai dibunuh di rumahnya di Taman Jaya, Kapar di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata suspek pertama ditahan pada Sabtu lalu, manakala seorang lagi ditahan hari ini.

“Kedua-dua suspek berusia 25 dan 29 tahun itu ditahan di sekitar Kapar.

“Polis masih mengesan suspek lain yang terbabit dalam kes ini dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Media pada Khamis lalu melaporkan, seorang peniaga berusia 38 tahun ditemukan mati dalam keadaan meniarap dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Taman Jaya, Kapar.

Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pada jam 11.39 pagi itu.

“Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), empat orang lelaki dikesan masuk ke rumah berkenaan dengan bersenjatakan parang dan ‘taser gun’,” katanya.