Nation
252

2 lokaliti di KL, Sabah dikenakan PKPD

Kuala Lumpur – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), akan dilaksana di dua lagi kawasan di Kuala Lumpur dan Sabah bermula 11 hingga 24 Julai ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, bagi Kuala Lumpur lokaliti terlibat ialah Apartment Sri Rakyat di Bandar Bukit Jalil, manakala di Sabah adalah Blok 11 dan 12, Lorong 4, Taman Nuri, Sandakan.

“Pelaksanaan PKPD ini bertujuan mengawal pergerakan penduduk, sekali gus mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti lain,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata PKPD di Jalan Kubur, Kuala Lumpur yang dijadual tamat hari ini, dilanjutkan sehingga 15 Julai susulan kes COVID-19 didapati masih menular dalam kalangan penduduk, selain terdapat kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut.

Beliau juga mengumumkan, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD seperti dijadual di beberapa lokaliti di Sabah, melibatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni di Sandakan; Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan; Kampung Pukat Tanjung Batu Laut dan Kampung Baru Pasir Putih di Tawau, serta Lorong 12, 15 dan 16, Taman Fajar di Sandakan.

PKPD di Kampung Segambut Dalam, Kuala Lumpur juga ditamatkan pada 11.59 malam ini.

Sementara itu, beliau berkata 56 premis meliputi kilang, premis perniagaan, tapak pembinaan dan asrama penempatan pekerja, diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, sewaktu pemeriksaan oleh Pasukan Petugas Operasi Pematuhan, semalam.

“Semalam, Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melaksanakan 83,031 pemeriksaan dan ‘snap check’ COVID-19 di seluruh negara, dengan jumlah kekuatan anggota seramai 20,311 orang.

“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 2,568 kilang, 16,960 premis perniagaan, 900 tapak pembinaan dan 379 asrama penempatan pekerja,” katanya.

Beliau memberitahu, sejumlah 531 individu turut ditahan kerana ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 499 dikompaun manakala 32 direman.

Katanya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, secara kumulatifnya 700,504 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19, yang melibatkan 36,417 majikan dan seramai 10,399 orang disahkan positif COVID-19.

Ismail Sabri berkata sehingga kini, 1,544 klinik terlibat dengan program saringan COVID-19 yang diwajibkan kepada semua pekerja warga asing, mulai 1 Feb lepas, lapor Bernama.

 

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu