Nation
164

2 lokap tahanan PATI dikenakan PKPD

Kuala Lumpur – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksana di dua lokap tahanan pendatang tanpa izin di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Setia Tropika serta Jabatan Imigresen Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru bermula esok hingga 10 April.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD di dua lokap itu bagi memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti susulan peningkatan kes positif COVID-19.

“Sehingga kini, KKM melaksanakan ujian saringan ke atas 82 pendatang tanpa izin di Kompleks KDN Setia Tropika dan daripada jumlah itu 39 orang didapati positif COVID-19.

“Sementara itu, sehingga 25 Mac lepas, sebanyak 51 kes positif dilaporkan di Lokap Tahanan Pendatang Tanpa Izin Jabatan Imigresen, Bangunan Sultan Iskandar hasil saringan ke atas tahanan bergejala,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan hari ini.

Beliau berkata kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di dua lokasi berkenaan setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKPD di Kampung Lingkudau di Keningau, Sabah sejak 15 Mac lepas akan ditamatkan esok mengikut jadual.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko COVID-19, selain baki kes positif di lokaliti tersebut menunjukkan trend penurunan manakala kluster juga adalah terkawal.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,396 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 91 kes positif COVID-19 direkodkan,” katanya.

Mengenai task force operasi pematuhan, Ismail Sabri berkata 80 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP semalam dengan 79 daripadanya dikompaun manakala seorang direman.

Kesalahan tertinggi melibatkan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan sebanyak 26 kes, aktiviti pusat hiburan (24), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (16), aktiviti rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (sembilan), tidak memakai pelitup muka (empat) dan lain-lain kesalahan (satu).

Menerusi Operasi Benteng semalam, beliau berkata 10 pendatang tanpa izin ditahan manakala enam kenderaan darat dan sebuah bot dirampas, selain 48 bot dikesan di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu