Kuala Lumpur Post

Social

2 maut, 14 cedera bas persiaran terbalik

PETALING JAYA — Dua dilaporkan maut manakala 14 lagi penumpang cedera selepas bas persiaran dinaiki dipercayai terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Kilometer 51.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, berhampiran Hentian Rehat Lentang, pagi tadi..

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, berdasarkan laporan awal diterima, bas terbabit dinaiki 16 orang termasuk pemandu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Karak.

Katanya, seramai 18 anggota Bomba dan Penyelamat Bentong dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada 7:53 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, komander operasi melaporkan kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran terbalik berhampiran laluan berselekoh dan merentangi lebuh raya.

“Terdapat 16 mangsa termasuk empat warga negara asing dan seorang mangsa tersepit. Bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.

“Menurut laporan awal, 14 mangsa cedera dan dua meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan, lapor Buletin TV3.

Zulfadli berkata mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Manakala semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan. Identiti mangsa yang maut bagaimanapun belum diperolehi,” katanya.