Kuala Lumpur Post

Social

2 mayat dalam longkang dipercayai ibu dan anak

Alor Setar — Mayat seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan yang ditemukan di dalam longkang belakang sebuah bangunan terbiar di Alor Setar semalam dipercayai ibu dan anak, menurut polis.

Ketua Polis Kota Setar Siti Nor Salawati Saad berkata, kedua-dua mangsa, masing-masing berusia 34 dan 10 tahun dipercayai warga asing, telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, katanya, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 43 tahun, iaitu suami dan bapa mangsa, di Masjid Bukit Pinang pada 9 malam tadi bagi membantu siasatan.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar hari ini bagi tujuan permohonan tahanan reman.

Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Polis juga meminta kerjasama daripada individu atau pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk tampil memberi keterangan di mana-mana balai polis berhampiran, atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Kota Setar Faizul Izuan Harun di talian 047747222, kata Siti Nor Salawati.

Dilaporkan semalam, orang awam menemukan dua mayat di dalam longkang di belakang bangunan terbiar di Lebuh Raya Sultan Abdul Halim sebelum melaporkannya kepada polis pada kira-kira 5 petang.

Kedua-dua mayat, yang didapati mempunyai kesan kecederaan, ditemukan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

Kedua-duanya ditemui mati dalam keadaan tertiarap dan terlentang berdekatan antara satu sama lain di dalam longkang kecil dengan kesan kelar pada leher di kedua-dua mayat, kata Siti Nor Salawati, lapor Sinar Harian.

Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian, tambahnya.