Kuala Lumpur Post

Social

2 mayat wanita sudah kembung, berbau ditemui dalam kereta

BUKIT MERTAJAM — Dua mayat wanita dipercayai kembung dan berbau busuk ditemukan dalam sebuah kereta di tepi jalan berdekatan Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam.

Penemuan mayat itu disedari orang awam pada 5.30 petang semalam yang melalui kawasan itu sebelum membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Jurucakap bomba Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba Perda ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan meminta bantuan membuka pintu kereta terkunci.

“Sebaik tiba pasukan penyelamat yang lengkap dengan pemakaian PPE (pakaian perlindungan diri) berjaya membuka pintu kereta yang terkunci menggunakan peralatan khas.

“Terdapat dua mayat perempuan dewasa berada di tempat duduk hadapan kereta berkenaan yang kemudian pihak kita menyerahkan kepada polis bagi tindakan selanjutnya,” katanya menurut Harian Metro.

Menurut laporan itu, dua mangsa berusia lingkungan 20-an mungkin meninggal dunia lebih lima hari berdasarkan keadaan mayat.

Mayat kedua-dua wanita terbabit dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk proses bedah siasat dengan identiti mangsa belum dapat disahkan.