Kuala Lumpur Post

Social

2 pegawai bank antara 16 ditahan terbabit sindiket jual kad ATM

SHAH ALAM — Polis Selangor berjaya menumpaskan sindiket penjualan kad mesin juruwang automatik (ATM) untuk dijadikan keldai akaun dengan penahanan 16 individu termasuk dua pegawai bank dalam serbuan di sekitar Lembah Klang dan Gombak pada Rabu hingga Jumaat lepas.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata semua suspek berumur 20 hingga 30 tahun terdiri daripada 12 lelaki dan tiga perempuan tempatan serta seorang wanita warga Nigeria itu dipercayai aktif dalam kegiatan tersebut sejak enam bulan yang lalu.

Beliau berkata menerusi serbuan itu pihak polis berjaya merampas 31 unit telefon bimbit, 30 kad ATM pelbagai bank, satu unit komputer riba bersama pencetak dan fail mengandungi pelbagai dokumen yang digunakan bagi tujuan pendaftaran akaun baharu bank.

“Semakan mendapati seorang daripada mereka yang ditahan, dipercayai ketua sindiket itu mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah dikenakan tindakan perintah sekatan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) pada 2021.

“Dua pegawai bank yang ditahan bekerja sebagai Mobile Deposit Specialist (MDS) dan dipercayai bertindak menguruskan pendaftaran akaun bank penama atau individu yang dibawa oleh orang tengah sebelum mengutip kad ATM yang telah siap untuk dijual kepada sindiket penipuan dengan harga sehingga RM8,000 bagi satu kad bank,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata modus operandi sindiket yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan membeli dan menjual kad ATM di sekitar Lembah Klang itu adalah mereka membeli akaun bank dan kad ATM dari mana-mana individu dengan harga RM1,000 hingga RM1,500 sebelum menjualnya kepada sindiket yang menjalankan penipuan dengan harga sehingga RM8,000 bagi setiap keping kad.

Beliau berkata siasatan ke atas dua pegawai bank yang ditahan mendapati sebanyak 40 akaun telah dibuka oleh mereka sejak terlibat dalam aktiviti itu enam bulan lalu dengan upah sekitar RM250 bagi setiap kad ATM yang diproses.

“Siasatan juga mengenal pasti lima akaun bank yang dirampas ketika serbuan itu terlibat dalam 15 kes penipuan atas talian melibatkan kerugian RM2.3 juta yang mana semua transaksi tersebut berlaku di antara Februari hingga Mac tahun ini di lapan buah negeri, antaranya Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Perak dan Johor.

Semua suspek telah ditahan reman dan kes disiasat di bawah Sesyen 420/ 120B Kanun Keseksaan dan jika disabit bersalah boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun dan sebatan atau denda atau ketiga-tiganya,” katanya.

Dalam hal itu, Hussein mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang diberi oleh sindiket untuk menyewa dan menyerahkan akaun bank dan kad ATM dengan bayaran lumayan yang diiklankan di media sosial.