Kuala Lumpur Post

Social

2 pegawai kanan badan berkanun ditahan SPRM

PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai kanan badan berkanun kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana bernilai RM1.2 bilion.

Difahamkan, penyelewengan dana itu membabitkan peruntukan pinjaman daripada Kementerian Kewangan bagi projek pembangunan.

Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia 50-an itu disyaki menyalahgunakan dana peruntukan pinjaman daripada kerajaan dengan memindahkan sebahagian pinjaman wang yang diterima daripada Kementerian Kewangan.

Katanya, wang terbabit dipindahkan kepada syarikat kontraktor dan perunding yang tidak berkaitan dalam kos pembangunan seperti dinyatakan dalam permohonan peruntukan pinjaman kerajaan.

“Penyelewengan peruntukan ini amat serius memandangkan ia membabitkan dana daripada Kerajaan Malaysia,” katanya.

Kedua-dua suspek kini direman empat hari sehingga Sabtu ini dengan perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman terhadap suspek.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.