Social
166

2 pegawai PBT direman

Kuching –  Dua pegawai kanan pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan reman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembabitan mereka dalam kes rasuah.

Salah seorang suspek berusia 34 tahun memegang jawatan Pemangku Ketua Bahagian Bangunan di salah satu PBT di Kuching itu direman selama dua hari mulai hari ini.

Seorang lagi yang berusia 32 tahun yang bertugas sebagai Ketua Unit Bangunan di PBT yang sama pula ditahan reman selama empat hari.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Zaiton Anuar selepas menerima permohonan daripada SPRM.

Terdahulu kedua-dua suspek ditahan di pejabat SPRM Sarawak di sini pada jam 6.10 dan 6.15 petang semalam selepas diminta hadir bagi memberi keterangan berhubung kes terbabit.

Sementara itu, sumber SPRM berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, pegawai PBT terbabit didakwa menyalahgunakan jawatan untuk mengeluarkan Permit Menduduki (OP) pada 2019.

OP berkenaan adalah untuk rumah kediaman teres satu tingkat di Blok 9 Land District, Jalan Sultan Tengah, Kuching, bagi tujuan untuk mendapatkan suapan daripada syarikat pemaju.

Suspek berusia 34 tahun diwakili peguam C.M.Sundram manakala seorang lagi tidak diwakili peguam. — Harian Metro

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu