Nation
327

2 pegawai SPRM dipercayai terlibat Geng Nicky dibebaskan

Kuala Lumpur – Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana dipercayai terlibat dengan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Perkara itu dimaklumkan peguam Zaid Malek yang mewakili kedua-dua lelaki selaku pemohon berusia 41 dan 42 tahun itu ketika dihubungi pihak media hari ini.

Menurut peguam tersebut,  dua pegawai SPRM dibebaskan sementara menunggu hasil siasatan polis berhubung kes berkenaan dan kedua-dua mereka boleh didakwa sekiranya pendakwa raya mempunyai bukti yang cukup.

“Berkaitan dengan permohonan habeas corpus yang difailkan agar kedua-duanya dibebaskan serta-merta, kami masih menunggu arahan lanjut daripada kedua-dua anak guam,” katanya.

Pada 10 Mei lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan 24 Mei ini untuk pendengaran permohonan habeas corpus kedua-dua mereka.

Kedua-dua pemohon yang ditangkap pada 21 dan 27 April lalu memfailkan notis usul secara berasingan permohonan habeas corpus melalui Tetuan Daim & Gamany pada 5 Mei lalu dengan menamakan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dua pegawai polis, Ketua Polis Negara masing-masing sebagai responden pertama hingga ketiga.

Turut dinamakan ialah Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden keempat dan kelima.

Berdasarkan afidavit sokongan kedua-dua pemohon antaranya memohon dibebaskan serta-merta dari perintah writ habeas corpus yang dikenakan terhadapnya selain pemohon tidak ditangkap atau ditahan semula.

Pemohon juga mendakwa penahanannya di bawah Sosma 2012 adalah tidak teratur, diluar bidang kuasa kawasan polis Johor dan tidak sah selain penahanannya mala fide serta melanggar undang-undang.

Pemohon juga mendakwa bahawa siasatan terhadapnya dibawah Seksyen 130V sehingga 130ZB  adalah terlampau luas dan merangkumi elemen-elemen yang berbeza justeru responden-responden tidak mempunyai asas untuk menahan mereka dibawah SOSMA 2012.

Pada 9 April lalu, seramai 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan dalam buruan Nicky Liow Soon Hee didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan terbabit dalam kumpulan Geng Nicky.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang medianya pada 27 April lalu berkata, seramai 10 pegawai Polis Diraja Malaysia dan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ditahan dalam Ops Pelican 3.0 Fasa 2 yang dijalankan Polis Kontinjen Johor kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan jenayah Geng Nicky. – Kosmo Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu