Kuala Lumpur Post

Social

2 pegawai syarikat pembekalan air ditahan SPRM

JOHOR BAHRU — Dua pegawai atasan sebuah syarikat pembekalan air negeri ini ditahan dipercayai menerima rasuah sebanyak RM3.3 juta daripada dua pemilik syarikat kontraktor, semalam.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 36 dan 40 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor, kira-kira 2 petang.

“Siasatan bertindak atas beberapa aduan sekitar 2023, yang mana kedua-dua suspek menerima wang rasuah daripada pemilik dua buah syarikat kontraktor.

“Ia sebagai balasan membantu syarikat berkenaan memperoleh kerja-kerja perkhidmatan dan pembekalan daripada syarikat pembekalan air berkenaan.

“Suspek terbabit dengan kesalahan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berhubung dengan permohonan sumbangan bagi sebuah program berjumlah RM3.3 juta, sedangkan program berkenaan tidak dilaksanakan sepenuhnya,” kata sumber berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk.Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, pagi ini, bagi mendapatkan permohonan reman,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.