Social
224

2 pelajar hina guru didakwa

Kota Baharu – Dua pelajar yang menghina guru dengan menconteng di baju sekolah sambil menunggang motosikal, 3 Mac lalu, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menghina.

Kedua-dua tertuduh yang berusia 17 tahun itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua pelajar berkenaan didapati memakai baju yang mempunyai tulisan bermaksud menghina atau lucah sehingga mengganggu keamanan setempat kerana dipakai di tempat awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bulatan Chempaka, Kota Bharu, jam 4 petang, pada 3 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14, Akta Kesalahan Kecil 1955 dan boleh dihukum mengikut akta sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, S Gayathri, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Malaysia, Nik Nazriani Nik Abd Rahman.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diberi jamin RM100 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jun bagi sebutan semula kes dan laporan akhlak.

Terdahulu, tular di media sosial menyaksikan dua individu yang menunggang dan membonceng motosikal dengan memakai baju sekolah dengan tulisan menghina guru. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu