Kuala Lumpur Post

Social

2 pelajar Malaysia maut, 3 cedera kemalangan di New Zealand

PUTRAJAYA — Dua pelajar Malaysia maut dalam nahas jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand pada jam 1.45 tengah hari waktu tempatan pada Sabtu.

Kementerian Luar (Wisma Putra) menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand yang mengesahkan kemalangan itu dalam satu kenyataan berkata, nahas berkenaan melibatkan lima penuntut Malaysia dan baki tiga orang lagi yang cedera diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands untuk diberikan rawatan segera.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, dengan bantuan komuniti Malaysia di Christchurch, sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga bagi memastikan pengurusan kebajikan kesemua mangsa berjalan dengan lancar.

Kementerian Luar dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia sedia membantu sekiranya pihak waris membuat keputusan untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia,” katanya.

Wisma Putra juga mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa nahas itu.

Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh berhubung terus dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington di alamat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, 10 Washington Avenue, Brooklyn, PO Box 9422, Wellington, atau di talian: +64-4-3852439/+64-210440188 (kecemasan) dan alamat e-mel, mwwellington@kln.gov.my.