Social
819

2 penghantar makanan ditahan terlibat kes pukul pemandu lori

Shah Alam – Dua lelaki tempatan yang merupakan penghantar makanan ditahan polis semalam kerana dipercayai terlibat dalam kejadian sekumpulan penghantar makanan memukul seorang pemandu lori di Jalan Persiaran Setia Perdana, Setia Alam, dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam (IPD) ACP Baharudin Mat Taib berkata kedua-dua lelaki berumur 20 dan 25 tahun itu ditahan di sekitar Shah Alam selepas kejadian tersebut berlaku pada 5.30 petang semalam.

Baharudin berkata kejadian tersebut berlaku susulan kemalangan jalan raya melibatkan seorang penunggang motosikal penghantar makanan dengan sebuah lori, lalu menyebabkan pergaduhan oleh sekumpulan lelaki dari sebuah syarikat penghantar makanan.

“Setakat ini, dua tangkapan telah dibuat ke atas lelaki penghantar makanan yang dipercayai terlibat dalam kes itu. Usaha untuk mengesan suspek lain yang terlibat sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya pemandu lori yang dipercayai warga tempatan itu juga akan hadir ke balai polis hari ini untuk membuat laporan berhubung insiden tersebut.

Baharudin berkata cawangan trafik IPD Shah Alam juga membuka kertas siasatan berhubung kejadian tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwa Raya dalam kadar segera bagi mendapatkan keputusan,” katanya.

Beliau turut menasihati masyarakat untuk tidak mengambil sebarang tindakan melulu dalam apa jua situasi yang boleh menyebabkan pelanggaran undang-undang.

Terdahulu tular sebuah video berdurasi 14 saat menyaksikan seorang lelaki tempatan dipukul sekumpulan lelaki penghantar makanan di media sosial. — Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu