Social
767

2 penjenayah mati ditembak polis

Kota Bharu – Dua penjenayah yang mendalangi kegiatan samun bersenjata dan pengedaran dadah sejak empat tahun lalu, ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah pondok dalam kebun getah di Kampung Batu Papan, Gua Musang, pagi semalam.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, suspek lelaki berusia 29 dan 36 tahun maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, serbuan dilakukan pegawai dan anggota unit khas Cawangan Jenayah Berat D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK).

“Sebaik tiba di pondok berkenaan, pasukan polis melihat seorang lelaki berada di tangga pondok dua tingkat dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik kehadiran polis disedari, suspek melarikan diri dan pada masa sama seorang lagi suspek dari tingkat atas bertindak terjun dan melarikan diri bersama beg hitam.

“Kedua-dua penjenayah melepaskan tembakan ke arah pasukan polis sebelum polis melepaskan tembakan dan mengenai kedua-dua suspek. Kedua-dua suspek maut di lokasi kejadian,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Shafien berkata, hasil pemeriksaan pihaknya merampas dua pucuk pistol, 45 biji peluru hidup pelbagai saiz, tiga kelongsong peluru saiz 9mm dan 1,200 biji pil yaba.

Katanya, siasatan awal mendapati dua suspek yang ditembak mati adalah ketua dan ahli kumpulan yang dikenali sebagai kumpulan ‘Adik Mat’.

“Kedua-dua suspek ini dikehendaki polis berkait kejadian samun bersenjata, ugutan jenayah dan kegiatan pengedaran dadah sejak 2018.

“Ketua kumpulan sindiket berkenaan adalah suspek yang berusia 29 tahun, mempunyai 12 rekod jenayah lampau termasuk kes dadah. Manakala suspek kedua yang juga anggota kumpulan berusia 36 tahun mempunyai empat rekod jenayah.

“Dengan tertumpasnya kumpulan Adik Mat, polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes jenayah samun di Gua Musang,” katanya.

Shafien berkata, sebahagian besar kumpulan berkenaan sudah ditangkap dan pihaknya akan menjejaki saki-baki kumpulan berkenaan.

“Berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa, modus operandi suspek adalah melakukan samun dan mengugut untuk menembak mangsa sekiranya membuat laporan polis.

“Selepas melakukan jenayah, suspek akan bersembunyi di pondok di kebun getah berkenaan bagi mengelak dikesan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat dan Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960, lapor Harian Metro.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu