Social
581

2 penjenayah mati ditembak polis

Bukit Mertajam – Polis menembak mati dua penjenayah warga asing yang terbabit dalam pelbagai jenayah dalam kejadian di Bukit Mengkuang, Kubang Semang, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, dua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an yang menaiki kereta Proton Waja bertindak melarikan diri dari pemeriksaan polis di Jalan Penanti, di sini secara memecut laju kenderaan itu.

Terdahulu, polis mengarahkan pemandu kereta berhenti untuk pemeriksaan selepas dikesan berada keadaan mencurigakan sebelum mereka meloloskan diri.

Bagaimanapun, suspek kemudian memberhentikan kenderaannya di kawasan semak di bukit terbabit sebelum penumpang hadapan keluar melepaskan dua das tembakan ke arah polis, manakala pemandu pula menyerang menggunakan parang.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata berikutan tindakan agresif suspek memaksa polis melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri dan menyebabkan kedua-dua penjenayah berkenaan terbunuh.

Beliau berkata, tembakan yang dilepaskan suspek dikesan terkena pada cermin sisi kereta polis, manakala semua anggotanya terselamat.

“Siasatan mendapati dua suspek ini menjadi buruan polis menerusi Ops Api Siakap, susulan kes ugutan dan melepaskan tembakan di Bukit Mertajam pada Ahad lalu (12 September)

“Hasil pemeriksaan terhadap kereta dinaiki mereka, polis menemui sejumlah dadah jenis heroin serta pelbagai peralatan pecah rumah di bahagian but.

“Polis turut menemui sepucuk pistol berisi enam butir peluru serta parang,” katanya, di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, semakan lanjut mendapati kereta dinaiki suspek dilaporkan hilang pada 29 Ogos tahun lalu di Sungai Petani, Kedah.

Mayat kedua-dua suspek dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat sementara disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, lapor BH Online.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu