Social
119

2 penuntut guna borang rentas negeri palsu ditahan

Kuantan – Polis menahan dua penuntut wanita kolej swasta berusia 22 tahun kerana disyaki memalsukan borang rentas negeri untuk ke Pahang, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata kedua-dua suspek yang menaiki kenderaan sama ditahan di sekatan jalan raya selepas Plaza Tol Bentong, pada 6.45 petang selepas anggota bertugas meragui kesahihan borang dikemukakan mereka.

“Siasatan awal mempercayai cap dan tandatangan ketua balai yang meluluskan borang itu bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan atas alasan menghadiri kelas adalah palsu yang dihasilkan dengan menggunakan mesin pengimbas.

“Polis turut menemukan salinan borang kosong dengan tandatangan palsu dikatakan milik ketua balai polis di telefon pintar seorang daripada suspek, yang dipercayai digunakan bagi menghasilkan borang rentas negeri itu,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Zaiham berkata ujian saringan air kencing seorang daripada suspek juga didapati positif ganja.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan bagi maksud menipu serta Seksyen 471 kanun sama atas kesalahan menggunakan surat pemalsuan sebagai tulen yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu