Social
132

2 penuntut IPT rugi lebih RM30,000 ditipu ‘scammer’

Melaka – Dua pelajar institusi pengajian tinggi swasta menjadi mangsa terbaharu penipuan dalam talian di negeri ini dengan kerugian melebihi RM30,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka Supt E. Sundra Rajan berkata dua kes tersebut melibatkan pembelian peranti dan peluang pekerjaan yang masing-masing ditawarkan menerusi Instagram dan Facebook.

Kes pertama membabitkan pelajar lelaki berusia 20 tahun yang kerugian RM17,200 selepas tertarik untuk membeli telefon bimbit iPhone 12 Pro Max yang kononnya mahu dijual pada harga RM1,800 oleh pihak yang menggunakan profil icenter_apple_store pada 12 Mei lepas.

“Mangsa yang menetap di Selandar, Jasin kemudiannya telah berhubung dengan suspek melalui WhatsApp dan diberikan nombor akaun bank untuk proses pembayaran. Mangsa telah membuat pembayaran berjumlah RM1,800.00 ke akaun bank yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 13 Mei, mangsa menerima pesanan WhatsApp daripada suspek yang memaklumkan akan mengepos telefon bimbit tersebut dari Singapura namun mangsa perlu membayar cukai penghantaran dan deposit kastam bagi mendapatkan telefon bimbit tersebut.

“Suspek menyatakan jika mangsa tidak membuat bayaran seperti yang diminta, mangsa akan dikenakan tindakan undang-undang. Jadi, mangsa yang tanpa berfikir panjang telah mengikut arahan suspek dengan memasukkan wang sehingga berjumlah RM17,200 dengan enam kali transaksi pembayaran ke dalam dua akaun bank yang berbeza,” katanya.

Mangsa membuat laporan polis pada 7 Jun selepas masih tidak menerima telefon bimbit yang dijanjikan oleh suspek dan semakan polis mendapati akaun bank yang digunakan oleh suspek terlibat dengan sembilan laporan polis membabitkan penipuan dengan modus operandi yang sama.

Sundra Rajan berkata kes kedua melibatkan lelaki berusia 23 tahun yang terpedaya dengan tawaran kerja menerusi aplikasi Ezjob dalam Facebook pada 3 Mei lepas, yang mana mangsa diminta membuat 60 ‘tasks’ iaitu ‘Like’ video serta menonton iklan.

“Selepas selesai membuat 60 tasks kerja tersebut, mangsa telah dimaklumkan mendapat pendapatan berjumlah RM17,290.13 namun untuk menebus wang dalam aplikasi itu, mangsa perlu membuat bayaran terlebih dahulu,” katanya.

Mangsa yang membuat pembayaran berjumlah RM12,810 ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek membuat laporan polis di Merlimau pada 4 Jun, selepas suspek menyatakan bayaran tersebut masih tidak mencukupi untuk menebus pendapatannya.

Kedua-dua kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu. — Bernama

 

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu