Social
80

2 produk kosmetik dikesan mengandungi racun

Putrajaya – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan dua jenama kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dua produk kosmetik berkenaan adalah Beautywise Rejuvenating Cream Hydroquinone dan Tretinoin serta Beautywise Rejuvenating Toner Hydroquinone dan Tretinoin.

Beliau berkata, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM.

“Oleh itu, produk-produk kosmetik tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

“Produk yang mengandungi hidrokuinon dan tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan pelbagai kesan-kesan sampingan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Noor Hisham berkata, hidrokuinon boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan pelindungan kulit daripada pancaran sinar ultraviolet berbahaya dan meningkatkan risiko kanser kulit.

Beliau berkata, penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Justeru, beliau mahu penjual dan pengedar produk kosmetik menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu