Social
284

2 suspek panah anjing liar ditahan

Alor Setar – Polis hari ini menahan dua lelaki yang disyaki membunuh anjing liar dengan memanah haiwan itu di Seberang Jalan Putra di sini, Khamis lalu.

Mereka ditahan secara berasingan pada jam 4 petang dan 5 petang tadi, oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar susulan laporan pengadu semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata, suspek pertama berusia 30-an ditahan di sebuah kelab golf di Jitra pada jam 4 petang semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati suspek yang menetap di rumah pangsa Seberang Terus, Mergong itu tidak mempunyai rekod jenayah manakala ujian saringan awal air kencing mendapati bebas daripada dadah.

“Turut dirampas dua busur panah, satu tabung pengisi anak panah berwarna hitam dan 21 anak panah yang ditemui di rumah suspek pertama.

“Suspek ditahan kerana melakukan penganiayaan terhadap haiwan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Shukri berkata, suspek kedua ditahan jam 5 petang di tepi jalan Kampung Hilir, Kepala Batas, dekat sini.

Beliau berkata, suspek berusia 20-an itu yang berasal dari Bukit Pinang juga didapati bebas daripada dadah dan tidak mempunyai rekod lampau.

“Suspek kedua turut ditahan kerana melakukan penganiayaan terhadap haiwan.

“Kedua-dua suspek akan diserah kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015/ Seksyen 45 Akta Binatang 1953,” katanya.

Sebelum ini, polis menerima laporan daripada pengadu mengenai anjingnya dipanah sehingga mati di Seberang Jalan Putra seperti yang tular di laman sosial, semalam.

Pengadu memaklumkan perkara itu selepas melihat status dimuat naik oleh seorang pemilik sebuah akaun Facebook mengenai anjing liar mati dibunuh dengan panah di kawasan berkenaan. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu