Social
293

2 termasuk remaja 15 tahun maut dalam kemalangan

Alor Setar – Dua lelaki maut termasuk seorang remaja 15 tahun selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta dari arah bertentangan berhampiran stesen minyak Batu 6, Simpang Empat, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.05 malam itu, penunggang motosikal, Muhamad Amirul Abdul Majid, 24, dan pemboncengnya, Muhammad Luthfan Asri, 15, meninggal dunia di tempat kejadian.

Kedua-dua mangsa menetap di Kampung Raja, Simpang Empat, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, hasil siasatan awal mendapati motosikal itu dipercayai dari arah Alor Setar ke arah Simpang Empat, manakala kereta terbabit dari arah bertentangan.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika motosikal berkenaan bergerak lurus di laluan mereka, manakala kereta dinaiki tiga individu termasuk seorang wanita itu di arah bertentangan.

“Bagaimanapun, kereta yang dipandu Muhammad Aniq Shafiq Anuar, 20, itu dipercayai hilang kawalan dan masuk ke hadapan laluan motosikal berkenaan, menyebabkan berlaku perlanggaran hadapan antara kedua-dua kenderaan.

“Akibatnya, penunggang dan pembonceng motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Shukri berkata, Muhammad Aniq Syafiq yang juga pelajar dan menetap di Kampung Bukit Lerek, Jalan Kuala Nerang itu cedera di mata, muka dan luka di tangan.

Dua penumpang dalam kereta itu, Muhammad Faizal Mohamad Na’in, 20, berasal dari Pendang pula luka di tangan, manakala Rosfaizureen Roslan, 18, dari Alor Setar bengkak di lutut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kenderaan itu ditahan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya. — Harian Metro

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu