Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Social

2 termasuk seorang kanak-kanak dikhuatiri lemas

Kuantan – Dua lelaki termasuk seorang kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika meredah air di kawasan padang bola berhampiran Bangunan UMNO di Mentakab, Temerloh dekat sini, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata pihaknya menerima maklumat pada 3.15 petang sebelum menggerakkan enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab ke lokasi kejadian.

“Kenyataan saksi kepada polis mendakwa terdapat seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak telah meredah air di kawasan tersebut sebelum dihanyutkan arus dan hilang. Bagaimanapun setakat ini identiti mereka masih belum dikenal pasti.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa semalam menggunakan bot aluminium dan dijalankan secara surface searching atau pencarian di kawasan permukaan air di lokasi kejadian dengan radius pencarian seluas 500 meter persegi,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata operasi ditangguhkan pada 5.15 petang semalam dan bersambung pagi ini.

Sementara itu, operasi SAR terhadap Mohd Firdaus Supiardi, 26, yang dilaporkan hilang selepas terjun ke Sungai Belat, Kuantan pada Sabtu lepas, masih diteruskan dan telah meliputi jarak 20 kilometer dan kawasan sawit seluas 10 hektar, lapor Bernama.

Tags: ,