PETALING JAYA — Seorang guru besar dan seorang wanita dilaporkan cedera apabila diserang lelaki bersenjatakan pisau dalam satu kejadian di sebuah sekolah agama di Kelana Jaya.
Dalam kejadian kira-kira 2 petang, lelaki terbabit yang memakai pelitup muka dikatakan masuk ke kawasan surau berkenaan dan mengamuk.
Sumber berkata, suspek yang bersenjatakan pisau dikatakan menyerang seorang wanita di dalam tandas perempuan dan menikam perut mangsa.
“Suspek turut dikatakan menyerang seorang lagi mangsa di kawasan sama menyebabkan cedera di kepala dan badan,” katanya.
Katanya, suspek dipercayai melarikan diri selepas kejadian.
Menurut sumber, mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, polis sedang giat memburu suspek.
Beliau berkata, satu kenyataan media akan dikeluarkan selepas ini.