Kuala Lumpur Post

Social

2 warga Singapura didakwa edar dadah

JOHOR BAHRU — Dua lelaki warga Singapura didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar kira-kira 58.6kg dadah methylenedioxymethamphetamine (MDMA) pada 29 Mei lepas.

Pertuduhan terhadap Tan Xiao Wei, 49, dan Ee Choong Kiat, 36, dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret R Salini, namun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan dua lelaki itu didakwa bersama-sama mengedar dadah berkenaan di Jalan Anjung 8/1, Taman Horizon Hills, Iskandar Puteri pada 10.30 malam.

Ee turut didakwa dengan masing-masing satu pertuduhan lain mengedar dan memiliki dadah MDMA dan ketamin berjumlah 100.4g di sebuah pangsapuri di Persiaran Bumi Hijau, Taman Molek di sini pada 3.40 petang.

Tan juga didakwa lagi dengan empat pertuduhan mengedar dan dua pertuduhan memiliki dadah MDMA, methamphetamine, ketamin dan nimetazepam dengan keseluruhan jumlah berat 13.8kg di sebuah kondominium di Jalan Mutiara 7 di sini pada 6.35 petang.

Bagi kesalahan mengedar, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kesalahan memiliki pula, pertuduhan adalah mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 14 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen manakala peguam Nur Afiqah Hambali mewakili kedua-dua tertuduh.