Social
168

20 pengedar dadah diberkas polis

Johor Baharu – Polis Diraja Malaysia memberkas seramai 20 pengedar dadah dalam satu operasi khas yang dilaksanakan serentak di seluruh negeri ini dari 16 sehingga 22 Julai lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua individu warga tempatan berusia 25 sehingga 45 tahun itu dikehendaki di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya Langkah Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Katanya, penahanan dilakukan susulan daripada siasatan kegiatan pengedaran dadah melibatkan kesemua suspek yang telah dikenal pasti.

“Kesemua individu ini merupakan penjenayah-penjenayah dadah besar iaitu tokan (pengedar) yang mana mereka terlibat dalam kes pengedaran dadah bernilai antara RM20,000 sehingga RM150,000,” katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Katanya, kesemua individu terbabit kini di bawah tahanan polis selama 60 hari bermula 16 Julai lepas dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan perintah tahanan di mana-mana pusat pemulihan akhlak selama dua tahun di bawah Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya LLPK 1985, atau perintah sekatan dua tahun dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran.

Ayob Khan berkata pada tahun lepas sahaja di bawah LLPK, seramai 1,412 individu terdiri daripada penagih dan pengedar telah ditahan di negeri ini, manakala sejak Januari sehingga 22 Julai lepas pula seramai 670 individu diberkas.

Beliau pada masa sama berkata, bagi menangani isu penagihan dadah pula, pihaknya akan menggunakan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana ia dilihat paling berkesan dalam menangani isu itu.

“Kebiasaannya penagih tegar yang banyak kali ditangkap akan keluar masuk pemulihan dan banyak terlibat dalam kes ragut, pecah rumah dan sebagainya.

Jadi kalau kita guna Seksyen 39C ini kita dapat keluarkan mereka daripada berada dalam masyarakat dan dikenakan hukuman lebih berat iaitu lima sehingga tujuh tahun penjara atau tiga sehingga lima sebatan ,” katanya.

Dalam kes berlainan, Ayob Khan berkata pihaknya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan penahanan empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 hingga 61 tahun menerusi enam serbuan berasingan di bandar raya ini pada 18 Julai lepas.

Katanya, serbuan bermula pukul 2.40 petang itu turut membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM2 juta terdiri daripada 32.97 kilogram serbuk ekstasi, 1,582 biji pil ekstasi, 1,330 bijil pil erimin 5, 375 gram ketamin dan 114 gram syabu.

Beliau berkata sindiket itu didapati telah beroperasi sejak setahun lepas dan dadah berkenaan adalah untuk pasaran tempatan serta digunakan di pusat-pusat hiburan dan parti persendirian.

Katanya kesemua mereka direman selama seminggu bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu