Kuala Lumpur Post

Social

20 penumpang terselamat, bas Rapid Penang terbakar

GEORGETOWN — Tindakan pantas pemandu bas Rapid Penang mengawal situasi kebakaran kenderaan awam itu, menyelamatkan seramai 20 penumpang dalam kejadian di Jalan Burma, di sini.

Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) menerusi kenyataannya mengesahkan kejadian yang berlaku pada jam 5.05 petang membabitkan bas laluan 101 menghala ke Jeti.

Menurut kenyataan itu, terdapat seramai 20 penumpang di dalam bas berkenaan ketika kejadian.

“Kapten bas yang sudah dilatih mengendali situasi kecemasan luar jangka, bertindak pantas dengan memberhentikan bas bagi menurunkan penumpang.

“Kapten terbabit juga cuba mengawal api daripada merebak menggunakan peralatan pemadam api yang terdapat di dalam bas,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pemandu dan kesemua penumpang tidak mengalami kecederaan dan tiada kerosakan pada harta benda awam.

“Rapid Bus memohon maaf kepada penumpang yang terjejas akibat kejadian ini dan akan memberi kerjasama kepada pihak bomba bagi menjalankan siasatan sepenuhnya ke atas punca kebakaran.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya lagi.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, Ahmad Rezki Faris Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 5.10 petang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi besama 10 anggota, didapati kebakaran membabitkan bahagian belakang bas termasuk enjin.

“Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira tujuh minit bagi memadamkan kebakaran yang membabitkan kemusnahan sehingga 50 peratus.

“Difahamkan ketika kejadian, pemandu bas berkenaan sedang menurunkan penumpang sebelum menyedari terdapat kepulan asap di bahagian belakang kenderaan,” katanya lagi.