Nation
244

22 bazar Ramadan diarah tutup mulai esok

Kuala Lumpur – Sebanyak 22 daripada 1,073 bazar Ramadan yang sedang beroperasi di seluruh negara diarah untuk menutup operasi selama tiga hari berkuat kuasa esok.

Menurut kenyataan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini, penutupan operasi itu melibatkan empat bazar Ramadan di Johor, Kedah (tiga), Pulau Pinang (lapan), Perak (satu) manakala masing-masing dua di Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur.

Kesemua bazar terbabit dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi yang boleh menjadi punca penularan jangkitan COVID-19 berdasarkan data terkumpul daripada laporan sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE).

“Laporan HIDE telah menunjukkan bahawa angka kontak rapat yang tinggi dalam kalangan pengunjung dan peniaga di bazar Ramadan yang terlibat.

“Sehingga 15 April, sebanyak 904 kes positif COVID-19 yang dilaporkan mempunyai sejarah kunjungan atau dijangkiti oleh individu yang pernah mengunjungi bazar Ramadan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Sistem HIDE, dibangunkan bersama oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertujuan untuk memberi amaran awal dalam mencegah ledakan jangkitan COVID-19 dengan menggunakan data daripada aplikasi MySejahtera.

Menurut KPKT, penutupan itu bagi tujuan sanitasi dan memperkemaskan semula prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan tersebut.

Sehubungan itu, semua Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran untuk mengetatkan penguatkuasaan pematuhan SOP di bazar Ramadan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Peniaga dan pengunjung juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelak peningkatan kes COVID-19,” menurut kenyataan itu. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu