Social
437

24 ahli Geng Sakai ditahan polis

Kuala Lumpur – Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan jenayah terancang Geng Sakai dengan penahanan 24 suspek termasuk ketua kumpulan berkenaan dan seorang remaja berusia 14 tahun dalam operasi bersepadu di beberapa negeri pada Ahad lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata operasi bersepadu berkenaan dijalankan di sekitar ibu kota, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Terengganu.

“Dalam operasi berkenaan kita menahan 24 suspek lelaki tempatan berusia 14 hingga 47 tahun. Kita turut merampas dadah jenis syabu seberat 318.5 gram dan heroin seberat 445.5 gram bernilai RM9,000.

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM21,000 dan lima kereta mewah dianggarkan bernilai RM1.7 juta. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1.73 juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Azmi berkata berdasarkan siasatan awal pihaknya mendapati kumpulan ini terlibat dalam pelbagai kes jenayah melibatkan dadah, kekerasan, harta benda dan kes bunuh.

“Kumpulan ini telah aktif untuk tempoh yang agak lama bagaimanapun kita dapati mereka baru saja aktif terlibat dalam pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang berikutan pendapatan yang lumayan,” katanya.

Azmi berkata 18 ahli geng berkenaan direman di bawah Prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 selama 28 hari sehingga 17 Julai depan manakala enam lagi suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata pihaknya sedang giat mengesan tujuh ahli geng berkenaan yang masih bebas.

“Polis Kuala Lumpur telah berjaya melumpuhkan kumpulan ini dan menghapuskan ancaman yang ditimbulkan oleh kumpulan ini,” katanya. — Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu