Nation
92

24 pekerja SWM Environment positif Covid-19

Seremban –  Syarikat konsesi pepejal, SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) mengesahkan seramai 24 pekerjanya di Negeri Sembilan disahkan positif Covid-19 selepas perkara itu tular di media sosial.

Pengurus Besar Korporatnya, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, mereka yang disahkan positif wabak itu dikuarantin dan mendapat perkhidmatan kesihatan yang sewajarnya.

“Kami sudah maklumkan perkara itu kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri.

“Kami mohon kerjasama orang ramai agar tidak menularkan berita yang tidak sahih membabitkan perkara ini bagi mengelak sebarang situasi cemas dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, tular di laman sosial berhubung sejumlah pekerja syarikat berkenaan dijangkiti Covid-19.

Mohd Norlisam berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan segera dalam menangani kes itu berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Antara tindakan itu ialah melaksanakan sanitasi setiap hari terhadap semua kenderaan kutipan sisa pepejal dan jentera pembersihan awam termasuk di pejabat operasi SWM Environment di seluruh Negeri Sembilan.

“Orang ramai boleh menghubungi saluran komunikasi awam SWM Environment yang merangkumi talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472dan talian WhatsApp SWM di 012-6180082 untuk sebarang pertanyaan berkaitan dengan perkhidmatan SWM Environment,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihak SWM Environment secara berterusan memberikan kesedaran kepada warga kerja barisan hadapannya mengenai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19.

“Kami sentiasa mempersiapkan mereka dengan kelengkapan perlindungan diri (PPE) malah SWM Environment juga mendapat kerjasama baik daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Syarikat juga akan meneruskan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam seperti biasa,” katanya. — Harian Metro

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu