KUALA LUMPUR — Sebanyak 27 kes penyakit berkaitan cuaca panas dilaporkan di seluruh negara sehingga Rabu lepas (20 Mac) dengan sembilan daripadanya melibatkan strok haba dan 18 lagi kes kelesuan haba.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam laporan ringkas mengenai status cuaca panas bertarikh 21 Mac, satu kes kematian akibat strok haba dilaporkan di Pahang.
.”.. manakala kes yang masih mendapat rawatan di hospital satu kes strok haba dan tiga kes kelesuan haba. Kes-kes lain telah mendapat rawatan dan sembuh,” menurut laporan itu yang memetik sumber Kementerian Kesihatan.
Nadma berkata sebanyak 22 kes melibatkan pesakit dewasa manakala lima lagi remaja, tanpa memperincikan butiran pesakit yang meninggal dunia.
Dari segi pecahan kes mengikut negeri, Kedah mencatatkan bilangan tertinggi iaitu lapan kes, Perak (tujuh), Selangor (tiga), Negeri Sembilan (tiga), Sabah (dua), Perlis (dua), Johor (satu) dan Pahang (satu).
Mengenai storan empangan, Nadma memaklumkan sehingga 20 Mac, terdapat dua empangan menunjukkan penyusutan baki stok simpanan air mentah dan berada pada paras kritikal iaitu Empangan Sembrong Barat di Johor (33.64 peratus) dan Empangan Air Hitam di Pulau Pinang (35.80 peratus).
Dalam pada itu, Nadma berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memberi tumpuan terhadap lebih 652 kawasan titik panas kebakaran di seluruh negara susulan fasa akhir Monsun Timur Laut.
“Selangor, Johor dan Sarawak antara negeri tertinggi yang direkodkan berlaku pengulangan insiden melibatkan kebakaran kategori lalang, kebun, hutan dan pelupusan sampah,” kata Nadma.
Menurut Nadma, cuaca panas ketika ini merupakan fenomena berulang yang berlaku saban tahun pada setiap Februari hingga Mei menyaksikan suhu maksimum harian boleh melebihi 35 darjah Celsius pada awal petang.
Berdasarkan analisis model-model cuaca, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius masih melanda kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah sepanjang tempoh ramalan tujuh hari ke hadapan.